Nehemia 3 BMDC

Tembok Kota Yerusalem Diperbaiki

1 Beginilah caranya tembok kota Yerusalem diperbaiki. Imam Agung Elyasib dan imam-imam lain membina semula Pintu Gerbang Domba, memasang daun-daun pintunya dan mentahbiskan semuanya. Mereka mentahbiskan tembok sampai ke Menara Seratus dan Menara Hananeel.

2 Orang Yerikho membina bahagian tembok yang selanjutnya.Zakur anak Imri membina bahagian tembok yang selanjutnya.

3 Puak Senaa membina Pintu Gerbang Ikan. Mereka memasang balak-balak, daun-daun pintu, pasak-pasak, dan palang-palang pintu gerbang.

4 Meremot anak Uria, iaitu cucu Hakos, membina bahagian tembok yang selanjutnya.Mesulam anak Berekhya, iaitu cucu Mesezabeel, membina bahagian tembok yang selanjutnya.Zadok anak Baana membina bahagian tembok yang selanjutnya.

5 Orang dari kota Tekoa membina bahagian tembok yang selanjutnya, tetapi para pemimpin kota itu tidak mahu melakukan pekerjaan kasar yang diberikan kepada mereka oleh para penyelia.

6 Yoyada anak Paseah dan Mesulam anak Besoja membina semula Pintu Gerbang Yesyana. Mereka memasang balak-balak, daun-daun pintu, pasak-pasak, dan palang-palang pintu gerbang.

7 Melaca dari Gibeon, Yadon dari Meronot, dan orang Gibeon serta orang Mizpa membina bahagian tembok yang selanjutnya sampai ke istana gabenor Efrat Barat.

8 Uziel anak Harhaya, seorang tukang emas membina bahagian tembok yang selanjutnya.Hananya, seorang pembuat minyak wangi, membina bahagian tembok yang selanjutnya sampai ke Tembok Lebar.

9 Refaya anak Hur, penguasa setengah daerah Yerusalem, membina bahagian tembok yang selanjutnya.

10 Yedaya anak Harumaf membina bahagian tembok yang selanjutnya, yang berdekatan dengan rumahnya sendiri.Hatus anak Hasabneya membina bahagian tembok yang selanjutnya.

11 Malkia anak Harim, dan Hasub anak Pahat-Moab membina bahagian tembok yang selanjutnya, dan juga Menara Perapian.

12 Salum anak Halohes, penguasa setengah daerah Yerusalem, membina bahagian tembok yang selanjutnya. Dia dibantu oleh anak-anak perempuannya dalam pembinaan itu.

13 Hanun dan penduduk Zanoah membina semula Pintu Gerbang Lembah. Mereka memasang daun-daun pintu, pasak-pasak, dan palang-palang pintu gerbang. Mereka juga membaiki tembok sepanjang 440 meter sampai ke Pintu Gerbang Sampah.

14 Malkia anak Rekhab, penguasa daerah Bet-Kerem membina semula Pintu Gerbang Sampah. Mereka memasang daun-daun pintu, pasak-pasak, dan palang-palang pintu gerbang.

15 Salum anak Kolhoze, penguasa daerah Mizpa, membina semula Pintu Gerbang Mata Air. Dia memasang atap pada pintu gerbang itu, memasang daun-daun pintu, pasak-pasak, dan palang-palang pintu gerbang. Di Kolam Selah, dia membina bahagian tembok dekat taman istana sampai ke tangga yang menurun dari Kota Daud.

16 Nehemia anak Azbuk, penguasa setengah daerah Bet-Zur, membina bahagian tembok yang selanjutnya sampai ke makam keluarga Daud, kolam buatan, dan berek askar.

Orang Lewi yang Memperbaiki Tembok

17 Beberapa bahagian tembok yang berikut diperbaiki oleh orang Lewi dalam urutan ini:Rehum anak Bani membina bahagian tembok yang selanjutnya;Hasabya, penguasa setengah daerah Kehila, membina bahagian tembok yang selanjutnya, bagi pihak daerahnya;

18 Binui anak Henadad, penguasa setengah daerah Kehila, membina bahagian tembok yang selanjutnya;

19 Ezer anak Yesua, penguasa Mizpa, membina bahagian tembok yang selanjutnya, di hadapan gudang senjata sampai ke tempat tembok membelok;

20 Barukh anak Zabai membina bahagian tembok yang selanjutnya, sampai ke pintu rumah Imam Agung Elyasib;

21 Meremot anak Uria, iaitu cucu Hakos, membina bahagian tembok yang selanjutnya, sampai ke hujung rumah Elyasib.

Imam-Imam yang Memperbaiki Tembok

22 Beberapa bahagian tembok berikutnya diperbaiki oleh para imam dalam urutan ini:Imam-imam yang tinggal di sekitar Yerusalem membina bahagian tembok yang selanjutnya;

23 Benyamin dan Hasub membina bahagian tembok yang selanjutnya, yang di hadapan rumah mereka;Azarya anak Maaseya, iaitu cucu Ananya, membina bahagian tembok yang selanjutnya, yang di depan rumahnya;

24 Binui anak Henadad membina bahagian tembok yang selanjutnya, dari rumah Azarya sampai ke sudut tembok;

25-26 Palal anak Uzai membina bahagian tembok yang selanjutnya, bermula dari sudut tembok dan menara istana bahagian atas, dekat halaman penjaga;Pedaya anak Paros membina bahagian tembok yang selanjutnya, sampai ke suatu tempat di hadapan Pintu Gerbang Air di sebelah timur, dan menara penjagaan Rumah TUHAN. (Tidak jauh dari situ ada kawasan yang bernama Ofel, tempat tinggal para pekerja Rumah TUHAN.)

Orang Lain yang Memperbaiki Tembok

27 Orang dari kota Tekoa membina bahagian tembok yang selanjutnya, dari suatu tempat di hadapan menara penjagaan Rumah TUHAN sampai ke tembok dekat Ofel; bahagian tembok ini adalah bahagian kedua yang dibina oleh mereka.

28 Sekumpulan imam membina bahagian tembok yang selanjutnya, dari Pintu Gerbang Kuda dan menghala ke utara; setiap orang membina bahagian tembok di hadapan rumah masing-masing.

29 Zadok anak Imer membina bahagian tembok yang selanjutnya, iaitu yang di hadapan rumahnya.Semaya anak Sekhanya, penjaga Pintu Gerbang Timur, membina bahagian tembok yang selanjutnya.

30 Hananya anak Selemya, dan Hanun, anak Zalaf yang keenam, membina bahagian tembok yang selanjutnya; bahagian tembok ini adalah bahagian kedua yang dibina oleh mereka.Mesulam anak Berekhya membina bahagian tembok yang selanjutnya, yang di hadapan rumahnya.

31 Malkia, seorang tukang emas, membina tembok yang selanjutnya, sampai ke rumah para pekerja Rumah TUHAN dan para pedagang, yang terletak di hadapan Pintu Gerbang Mifkad, dekat bilik atas di sudut tembok sebelah timur laut.

32 Para tukang emas dan pedagang membina bahagian tembok yang terakhir, bermula dari bilik atas di sudut tembok sampai ke Pintu Gerbang Domba.

Bab

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13