36 Kami akan membawa anak lelaki kami yang sulung kepada imam di Rumah TUHAN. Di situ anak itu akan diserahkan kepada Allah menurut peraturan Taurat. Kami juga akan menyerahkan anak sulung lembu, anak sulung kambing, atau anak sulung domba.
37 Kami akan membawa adunan yang dibuat daripada biji-bijian yang mula-mula dituai pada tiap-tiap tahun, dan juga persembahan lain berupa wain, minyak zaitun, serta segala jenis buah-buahan. Semua itu akan kami berikan kepada imam-imam di Rumah TUHAN.Kami akan memberikan persepuluhan kami kepada orang Lewi yang memungut persembahan persepuluhan di tempat-tempat pertanian, iaitu persepuluhan daripada hasil tanaman yang tumbuh di ladang kami.
38 Seorang imam keturunan Harun harus bersama-sama orang Lewi ketika persembahan persepuluhan itu dikumpulkan. Orang Lewi harus menyimpan sepersepuluh daripada semua persembahan persepuluhan itu di dalam stor-stor bekalan di Rumah TUHAN.
39 Umat Israel dan orang Lewi harus membawa persembahan biji-bijian, wain, dan minyak zaitun yang sudah dikumpulkan itu ke stor-stor bekalan, iaitu di tempat menyimpan peralatan Rumah TUHAN. Di situ juga tempat tinggal para imam yang sedang bertugas, para pengawal Rumah TUHAN, dan para penyanyi di Rumah TUHAN.Kami tidak mahu mengabaikan Rumah TUHAN kami.