Nehemia 12:30-38 BMDC

30 Para imam dan orang Lewi menjalankan upacara penyucian bagi diri mereka sendiri, kemudian bagi rakyat, dan juga bagi pintu-pintu gerbang dan tembok kota.

31 Aku mengumpulkan para pemimpin Yehuda di atas tembok dan menugaskan mereka memimpin dua kumpulan besar untuk berjalan mengelilingi kota itu, sambil menyanyikan lagu kesyukuran kepada Allah.Kumpulan yang pertama berarak ke sebelah kanan di atas tembok itu, ke arah Pintu Gerbang Sampah.

32 Hosaya berjalan di belakang para penyanyi, diikuti oleh separuh daripada para pemimpin Yehuda.

33-35 Sekumpulan imam yang meniup trompet, berjalan di belakang mereka. Imam-imam itu ialah Azarya, Ezra, Mesulam, Yehuda, Benyamin, Semaya, dan Yeremia. Mereka diikuti oleh Zakharia anak Yonatan, cucu Semaya. (Beberapa orang antara nenek moyangnya ialah Matanya, Mikha, dan Zakur daripada puak Asaf.)

36 Dia diikuti oleh orang lain daripada puaknya, iaitu Semaya, Azareel, Milalai, Gilalai, Maai, Netaneel, Yehuda, dan Hanani. Mereka semua membawa alat-alat muzik, serupa dengan yang dimainkan oleh Raja Daud, hamba Allah itu. Imam Ezra, ahli Taurat itu, berjalan di hadapan perarakan ini.

37 Di pintu Gerbang Mata Air, mereka menaiki tangga yang menuju ke Kota Daud. Mereka melalui istana Daud lalu balik ke tembok di Pintu Gerbang Air, di bahagian timur kota itu.

38 Kumpulan penyanyi yang satu lagi, berarak di atas tembok itu dan menuju ke sebelah kiri. Aku mengikuti mereka bersama-sama separuh daripada rakyat. Kami berarak melalui Menara Perapian sampai ke Tembok Lebar.