Nehemia 13:15-21 BMDC

15 Pada masa itu aku nampak penduduk Yehuda memeras buah anggur pada hari Sabat. Sebilangan orang lain memuat biji-bijian, wain, buah anggur, buah ara, dan barang-barang lain ke atas keldai mereka, lalu membawanya ke Yerusalem. Aku memberikan amaran kepada mereka supaya tidak menjual apa-apa pada hari Sabat.

16 Beberapa orang dari kota Tirus yang tinggal di Yerusalem membawa ikan dan pelbagai jenis barang ke Yerusalem, lalu mereka menjualnya kepada orang Yahudi pada hari Sabat.

17 Aku menegur para pemimpin orang Yahudi. Aku berkata, “Lihatlah perbuatan kamu yang jahat itu! Kamu mencemarkan hari Sabat.

18 Justeru kerana itulah Allah menghukum nenek moyang kita dahulu dan memusnahkan kota ini. Sekarang kamu menyebabkan Allah lebih murka lagi terhadap Israel dengan mencemarkan hari Sabat!”

19 Oleh itu aku memberikan perintah supaya pintu gerbang kota ditutup pada permulaan tiap-tiap hari Sabat, iaitu sebaik sahaja matahari terbenam, dan pintu itu tidak dibuka sehingga hari Sabat sudah berlalu. Aku menugaskan beberapa orang anak buahku di pintu-pintu gerbang itu untuk mengawasi supaya tidak ada barang dagangan dibawa masuk ke dalam kota pada hari Sabat.

20 Sekali atau dua kali pedagang-pedagang yang menjual barang dagangan bermalam di luar tembok kota.

21 Aku memberikan amaran kepada mereka, “Sia-sia saja kamu menunggu sehingga pagi di situ. Jika kamu melakukan hal ini lagi, aku akan mengambil tindakan keras terhadap kamu.” Sejak itu mereka tidak datang lagi pada hari Sabat.