Nehemia 2:8-14 BMDC

8 Selain itu, aku juga meminta surat bagi Asaf, pengawas hutan diraja, supaya dia memberi aku kayu balak bagi pintu gerbang kubu yang menjadi pertahanan Rumah TUHAN, dan bagi tembok kota, serta rumah yang akan kudiami. Raja mengabulkan semua permohonanku itu kerana Allah menyertai aku.

9 Raja mengutus beberapa orang pegawai tentera dan sepasukan askar berkuda untuk mengiringi aku dalam perjalananku ke Efrat Barat. Apabila aku tiba di sana, aku menyerahkan surat-surat raja itu kepada para gabenor.

10 Tetapi Sanbalat, orang dari kota Bet-Horon, dan Tobia, pegawai dari wilayah Amon, mendengar bahawa ada orang yang datang untuk menolong umat Israel. Oleh itu mereka sangat marah.

11 Aku meneruskan perjalanan ke Yerusalem. Selama tiga hari,

12 aku tidak memberitahu sesiapa pun akan ilham Allah kepadaku tentang apa yang akan aku lakukan bagi kota Yerusalem. Kemudian, pada waktu tengah malam aku bangun dan keluar bersama-sama beberapa orang teman. Satu-satunya binatang yang aku bawa adalah keldai yang aku tunggangi.

13 Hari masih gelap ketika aku keluar dari kota melalui Pintu Gerbang Lembah di sebelah barat, lalu aku menuju ke arah selatan, melalui Mata Air Naga, ke Pintu Gerbang Sampah. Selama perjalanan itu, aku memeriksa tembok kota yang sudah roboh dan pintu-pintu gerbangnya yang telah musnah dimakan api.

14 Kemudian dari sebelah timur kota itu aku menuju ke utara, ke Pintu Gerbang Mata Air dan ke Kolam Raja. Di situ tidak ada tempat untuk berjalan bagi keldai yang aku tunggangi kerana reruntuhan terlalu banyak.