Nehemia 8:9-15 BMDC

9 Apabila rakyat mendengar pembacaan Taurat itu, mereka begitu terharu sehingga mereka menangis. Oleh itu Gabenor Nehemia dan Imam Ezra, ahli Taurat itu, dan orang Lewi yang sedang menghuraikan Taurat itu memberitahu rakyat, “Hari ini hari yang khas untuk TUHAN, Allah kamu. Oleh itu janganlah bersedih atau menangis.

10 Pulanglah dan adakanlah jamuan makan. Bahagikanlah makanan dan wain kamu kepada mereka yang kekurangan. Hari ini hari yang khas bagi Tuhan kita. Oleh itu janganlah berdukacita. Kesukaan yang diberikan oleh TUHAN kepada kamu akan menguatkan kamu.”

11 Orang Lewi berjalan ke sana sini untuk menenangkan rakyat dan berkata berulang kali, “Janganlah berdukacita pada hari yang khas ini.”

12 Kemudian semua orang itu pulang. Mereka makan dan minum sambil bersukacita, serta membahagikan makanan kepada orang lain, kerana mereka faham akan makna pembacaan yang didengar mereka itu.

13 Keesokan harinya, para pemimpin puak, para imam dan orang Lewi pergi kepada Ezra untuk mempelajari ajaran Taurat.

14 Mereka mendapati bahawa dalam Taurat yang diberikan TUHAN dengan perantaraan Musa, TUHAN menyuruh umat Israel tinggal di dalam pondok-pondok sementara, apabila mereka merayakan Perayaan Pondok Daun.

15 Oleh itu, mereka mengumumkan perintah berikut di seluruh Yerusalem, di kota-kota lain, dan di pekan-pekan, “Pergilah ke bukit-bukit dan ambillah dahan-dahan pokok pain, pokok zaitun, pokok kemunting, pokok kurma dan pokok-pokok lain, lalu buatlah pondok menurut peraturan yang tertulis di dalam Taurat.”