1 Pada bulan kelapan dalam tahun kedua pemerintahan Raja Darius di Persia, TUHAN menyampaikan perkhabaran ini kepada Nabi Zakharia anak Berekhya dan cucu Ido.
2 TUHAN Yang Maha Kuasa memberikan perintah kepada Zakharia untuk menyampaikan perkhabaran ini kepada umat-Nya, “Aku, TUHAN sangat murka kepada nenek moyang kamu.
3 Tetapi sekarang Aku berfirman kepada kamu: Kembalilah kepada-Ku, maka Aku juga akan kembali kepada kamu.
4 Jangan berlaku seperti nenek moyang kamu. Dahulu kala, para nabi menyampaikan perkhabaran-Ku kepada mereka agar berhenti berbuat jahat dan berhenti berbuat dosa. Tetapi mereka tidak mahu mendengarkan Aku dan tidak mahu mentaati Aku.
5 Di manakah nenek moyang kamu dan nabi-nabi itu sekarang? Mereka telah meninggal.
6 Dengan perantaraan para nabi, hamba-Ku, Aku menyampaikan perintah dan amaran-Ku kepada nenek moyang kamu. Tetapi mereka tidak mempedulikannya sehingga harus menanggung akibatnya. Kemudian mereka bertaubat dan mengakui bahawa Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa, telah menghukum mereka setimpal dengan kesalahan mereka dan sesuai dengan ketentuan-Ku.”
7 Pada hari kedua puluh empat bulan Syebat, iaitu bulan sebelas dalam tahun kedua pemerintahan Raja Darius, TUHAN menyampaikan perkhabaran-Nya kepadaku. Dalam suatu penglihatan pada waktu malam,
8 aku nampak malaikat TUHAN menunggang seekor kuda merah. Dia berhenti di sebuah lembah di antara pokok kemunting. Di belakangnya ada lagi beberapa ekor kuda - ada yang merah, ada yang bertelau-telau, dan ada yang putih.
9 Aku bertanya kepadanya, “Tuan, apakah maknanya semua kuda ini?”Dia menjawab, “Aku akan menunjukkan maknanya kepadamu.
10 TUHAN mengirim semua kuda ini untuk menyiasat bumi.”
11 Semua kuda itu memberikan laporan kepada malaikat, “Kami telah menjelajahi seluruh muka bumi dan mendapati bahawa seluruh bumi tenang dan tenteram.”
12 Kemudian malaikat itu berkata, “Ya TUHAN Yang Maha Kuasa, Engkau murka kepada Yerusalem dan kota-kota di Yehuda selama tujuh puluh tahun. Sampai bilakah Engkau akan tetap murka dan tidak mengampuni mereka?”
13 TUHAN menjawab malaikat itu dengan firman yang menghiburkan hati,
14 lalu malaikat itu menyuruh aku mengisytiharkan firman TUHAN Yang Maha Kuasa, “Aku sangat mengasihi kota Yerusalem dan mengambil berat terhadap kota-Ku yang suci itu.
15 Tetapi Aku sangat murka kepada bangsa-bangsa yang berasa aman dan tenteram. Ketika Aku menahan kemurkaan-Ku terhadap umat-Ku, bangsa-bangsa itu menambah penderitaan umat-Ku.
16 Oleh itu Aku kembali ke Yerusalem untuk mengasihani kota itu. Rumah-Ku akan dibina semula dan kota itu akan diperbaiki.”
17 Malaikat itu menyuruh aku mengisytiharkan perkhabaran ini juga, “TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman bahawa kota-kota-Nya akan makmur semula dan bahawa sekali lagi Dia akan menolong Yerusalem dan mengakuinya sebagai milik-Nya sendiri.”
18 Dalam penglihatan yang lain, aku nampak empat buah tanduk lembu.
19 Aku bertanya kepada malaikat yang telah bertutur kepadaku, “Apakah makna tanduk-tanduk itu?”Dia menjawab, “Tanduk-tanduk itu melambangkan kuasa kerajaan dunia yang mencerai-beraikan penduduk Yehuda, Israel, dan Yerusalem.”
20 Kemudian TUHAN menunjukkan empat orang tukang besi yang membawa tukul.
21 Aku bertanya, “Apakah maksud kedatangan mereka?”Dia menjawab, “Mereka datang untuk menakutkan dan menggulingkan bangsa-bangsa yang telah memusnahkan Yehuda serta mencerai-beraikan penduduknya.”