1 Pada bulan kelapan dalam tahun kedua pemerintahan Raja Darius di Persia, TUHAN menyampaikan perkhabaran ini kepada Nabi Zakharia anak Berekhya dan cucu Ido.
2 TUHAN Yang Maha Kuasa memberikan perintah kepada Zakharia untuk menyampaikan perkhabaran ini kepada umat-Nya, “Aku, TUHAN sangat murka kepada nenek moyang kamu.
3 Tetapi sekarang Aku berfirman kepada kamu: Kembalilah kepada-Ku, maka Aku juga akan kembali kepada kamu.
4 Jangan berlaku seperti nenek moyang kamu. Dahulu kala, para nabi menyampaikan perkhabaran-Ku kepada mereka agar berhenti berbuat jahat dan berhenti berbuat dosa. Tetapi mereka tidak mahu mendengarkan Aku dan tidak mahu mentaati Aku.
5 Di manakah nenek moyang kamu dan nabi-nabi itu sekarang? Mereka telah meninggal.