15 Tetapi Aku sangat murka kepada bangsa-bangsa yang berasa aman dan tenteram. Ketika Aku menahan kemurkaan-Ku terhadap umat-Ku, bangsa-bangsa itu menambah penderitaan umat-Ku.
16 Oleh itu Aku kembali ke Yerusalem untuk mengasihani kota itu. Rumah-Ku akan dibina semula dan kota itu akan diperbaiki.”
17 Malaikat itu menyuruh aku mengisytiharkan perkhabaran ini juga, “TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman bahawa kota-kota-Nya akan makmur semula dan bahawa sekali lagi Dia akan menolong Yerusalem dan mengakuinya sebagai milik-Nya sendiri.”
18 Dalam penglihatan yang lain, aku nampak empat buah tanduk lembu.
19 Aku bertanya kepada malaikat yang telah bertutur kepadaku, “Apakah makna tanduk-tanduk itu?”Dia menjawab, “Tanduk-tanduk itu melambangkan kuasa kerajaan dunia yang mencerai-beraikan penduduk Yehuda, Israel, dan Yerusalem.”
20 Kemudian TUHAN menunjukkan empat orang tukang besi yang membawa tukul.
21 Aku bertanya, “Apakah maksud kedatangan mereka?”Dia menjawab, “Mereka datang untuk menakutkan dan menggulingkan bangsa-bangsa yang telah memusnahkan Yehuda serta mencerai-beraikan penduduknya.”