4 Pada masa itu, Dia akan berdiri di Bukit Zaitun di sebelah timur Yerusalem. Kemudian Bukit Zaitun akan terbelah dua oleh lembah yang luas, bermula dari timur sampai ke barat. Separuh bukit itu akan bergerak ke arah utara dan separuh lagi ke arah selatan.
5 Kamu akan melarikan diri melalui lembah yang membelah bukit itu. Kamu akan lari seperti nenek moyang kamu dahulu ketika terjadi gempa bumi pada masa pemerintahan Uzia, raja Yehuda. TUHAN, Allahku akan datang bersama dengan semua malaikat-Nya.
6 Pada masa itu, tiada lagi musim sejuk dan tiada embun yang membeku,
7 ataupun kegelapan. Hari akan sentiasa terang, bahkan pada waktu malam. Hanya TUHAN yang tahu masa perkara itu akan berlaku.
8 Pada hari itu, air yang memberikan hidup akan mengalir dari Yerusalem; separuh daripada air itu akan mengalir ke Laut Mati, dan separuh lagi ke Laut Tengah. Air itu akan mengalir sepanjang tahun, baik pada musim kemarau mahupun pada musim hujan.
9 Kemudian TUHAN akan menjadi raja seluruh bumi. Setiap orang akan menyembah Dia sebagai Allah dan mengenal Dia dengan nama yang sama.
10 Tanah di seluruh negeri, dari kota Geba di utara sampai ke Rimon di selatan, akan menjadi rata. Yerusalem akan menjulang tinggi, lebih tinggi daripada tanah di sekitarnya; keluasan kota itu dari Pintu Gerbang Benyamin sampai ke Pintu Gerbang Sudut, iaitu tempat pintu gerbang yang dahulu, dan dari Menara Hananel sampai ke tempat pemerasan buah anggur milik raja.