8 Kemudian malaikat itu berseru kepadaku, “Kuda yang pergi ke Babilonia di utara telah meredakan kemurkaan TUHAN.”
9 TUHAN memberikan perkhabaran ini kepadaku.
10 Dia berfirman, “Ambillah persembahan yang diberikan oleh orang yang baru kembali dari pembuangan di Babilonia, iaitu Heldai, Tobia, dan Yedaya. Bawalah persembahan mereka itu dengan segera ke rumah Yosia anak Zefanya.
11 Buatlah sebuah mahkota daripada emas dan perak yang dipersembahkan mereka itu, lalu pasanglah mahkota itu pada kepala Imam Agung Yosua anak Yozadak.
12 Beritahulah dia bahawa Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman, ‘Orang yang disebut Tunas akan berjaya di tempat dia berada, dan dia akan membina semula Rumah TUHAN.
13 Dialah yang akan membina Rumah-Ku dan menerima kehormatan yang diberikan kepada raja, dan dia akan memerintah rakyatnya. Seorang imam akan mengiringi dia dan mereka akan bekerjasama dengan rukun.’
14 Mahkota itu akan disimpan di dalam Rumah-Ku untuk mengenang Heldai, Tobia, Yedaya, dan Yosia.”