1 Inilah perkhabaran TUHAN. Dia telah menjatuhkan hukuman kepada negeri Hadrakh dan kota Damsyik. Bukan sahaja suku-suku Israel, tetapi ibu kota negeri Siria juga milik TUHAN.
2 Hamat yang bersempadan dengan negeri Siria pun milik TUHAN, demikian juga kota Tirus dan Sidon dengan segala kemahiran penduduknya.
3 Tirus telah membina kubu-kubunya dan mengumpulkan sangat banyak emas dan perak, sehingga menjadi benda biasa seperti pasir di jalan.
4 Tetapi Tuhan akan mengambil segala yang ada padanya. Dia akan membuang kekayaannya ke dalam laut, dan kota itu akan dibakar habis.
5 Kota Askelon akan melihat perkara itu lalu menjadi takut. Kota Gaza akan melihat hal itu lalu mengalami penderitaan yang berat. Ekron juga akan melihat hal itu, lalu harapannya akan hancur. Gaza akan kehilangan rajanya, dan Askelon akan menjadi lengang tanpa penghuni.
6 Bangsa campuran akan tinggal di Asdod. TUHAN berfirman, “Aku akan menaklukkan semua orang Filistin yang sombong itu.
7 Mereka akan berhenti makan daging yang masih berdarah dan makanan apa sahaja yang dilarang. Semua orang yang terselamat akan menjadi anggota umat-Ku dan menjadi seperti salah satu puak suku Yehuda. Ekron akan menjadi anggota umat-Ku seperti orang Yebusi pada zaman dahulu.