2 Tetapi orang Filistin mengejar mereka lalu membunuh tiga orang putera Raja Saul, iaitu Yonatan, Abinadab, dan Malkisua.
3 Pertempuran sangat sengit di sekitar Raja Saul, dan baginda cedera kerana kena anak panah musuh.
4 Kemudian Raja Saul bertitah kepada pemuda yang membawa senjata baginda, “Hunuslah pedangmu dan tikamlah beta, supaya beta tidak dipermainkan oleh orang Filistin yang tidak mengenal Allah.” Tetapi pemuda itu terlalu takut untuk melakukannya. Oleh itu Raja Saul mengambil pedangnya sendiri lalu merebahkan diri ke atas pedang itu.
5 Apabila pemuda itu nampak bahawa Raja Saul telah mangkat, dia juga merebahkan diri ke atas pedangnya lalu meninggal.
6 Oleh itu, Raja Saul dan tiga orang puteranya mangkat, maka berakhirlah pemerintahan baginda; tiada seorang pun daripada keturunannya menjadi raja selepas itu.
7 Apabila semua orang Israel yang tinggal di Lembah Yizreel mendengar bahawa tentera mereka telah melarikan diri, dan bahawa Raja Saul serta tiga orang puteranya telah mangkat, mereka meninggalkan kota-kota mereka lalu melarikan diri. Kemudian orang Filistin datang dan menduduki kota-kota itu.
8 Sehari selepas pertempuran itu, orang Filistin merompak mayat-mayat tentera Israel. Mereka menjumpai jenazah Raja Saul dan tiga orang puteranya di Gunung Gilboa.