19 Raja Daud bertitah, “Tidak mungkin beta minum air ini! Jika beta meminumnya, seolah-olah beta minum darah orang yang telah mempertaruhkan nyawa mereka!” Daud sama sekali tidak mahu meminum air itu. Demikianlah keberanian tiga orang askar yang terkenal itu.
20 Abisai, adik Yoab ialah ketua “Kumpulan Tiga Puluh”. Dia melawan tiga ratus orang dan membunuh mereka dengan tombaknya. Oleh itu dia menjadi termasyhur di kalangan “Kumpulan Tiga Puluh”.
21 Dialah yang termasyhur di kalangan “Kumpulan Tiga Puluh” dan menjadi pemimpin mereka, tetapi dia tidak termasyhur seperti “Kumpulan Tiga”.
22 Benaya anak Yoyada dari Kabzeel ialah seorang askar yang gagah perkasa. Dia sangat berani dan pernah membunuh dua orang pahlawan terkemuka dari Moab. Pada suatu hari, ketika salji turun, dia masuk ke sebuah lubang dan membunuh seekor singa.
23 Dia juga membunuh seorang Mesir yang berbadan besar; orang itu tingginya lebih dua meter, dan dia bersenjatakan tombak yang sangat besar. Benaya menyerang orang Mesir itu dengan belantan, merampas tombak dari tangan orang itu, dan membunuhnya dengan tombak itu.
24 Demikianlah keberanian Benaya, seorang daripada “Kumpulan Tiga Puluh”.
25 Benaya terkemuka di kalangan “Kumpulan Tiga Puluh”, tetapi dia tidak terkenal seperti “Kumpulan Tiga”. Raja Daud melantik dia menjadi ketua pengawal peribadinya.