4 Pada suatu masa Raja Daud bersama-sama segenap tentera Israel pergi menyerang kota Yerusalem. Pada masa itu kota itu bernama Yebus dan orang Yebusi, penduduk asal tanah itu, masih tinggal di situ.
5 Orang Yebusi memberitahu Raja Daud bahawa baginda tidak mungkin memasuki kota mereka. Tetapi Raja Daud berjaya merampas kubu mereka yang bernama Sion, dan kini kubu itu disebut “Kota Daud.”
6 Pada waktu itu, Raja Daud bertitah, “Orang yang pertama membunuh seorang Yebusi akan menjadi panglima!” Yoab (ibunya Zeruya), memimpin serangan yang pertama, oleh itu dia menjadi panglima.
7 Raja Daud tinggal di kubu itu, maka itulah sebabnya kubu itu disebut “Kota Daud.”
8 Raja Daud membina semula kota itu, bermula dari tempat yang ditambak dengan tanah di sebelah timur bukit, dan Yoab membaiki bahagian lain kota itu.
9 Raja Daud semakin kuat kerana TUHAN Yang Maha Kuasa menyertai baginda.
10 Inilah nama para askar Raja Daud. Bersama-sama umat Israel yang lain, mereka telah berjuang agar Raja Daud menjadi raja seperti yang dijanjikan TUHAN, dan mereka menyokong kerajaan baginda.