1 Tawarikh 15:13-23-24 BM

13 Ketika Tabut itu dipindahkan pada kali pertama, kamu tidak berada di situ untuk memikulnya. Oleh itu TUHAN, Allah kita, menghukum kita kerana kita tidak meminta petunjuk daripada-Nya.”

14 Oleh itu, para imam dan orang Lewi menyucikan diri supaya dapat memindahkan Tabut Perjanjian TUHAN, Allah Israel.

15 Ketika memindahkan Tabut, orang Lewi memikul Tabut itu dengan dua batang kayu pengusung, menurut peraturan yang diberikan TUHAN dengan perantaraan Musa.

16 Raja Daud juga menyuruh para pemimpin orang Lewi supaya menugaskan beberapa orang daripada suku mereka untuk menyanyikan dan memainkan lagu-lagu gembira pada kecapi dan simbal.

17-21 Daripada puak-puak penyanyi, mereka memilih orang yang berikut untuk memainkan simbal tembaga kuning: Heman anak Yoel, sanaknya yang bernama Asaf anak Berekhya, serta Etan anak Kusaya daripada puak Merari. Untuk mengiringi mereka serta memainkan kecapi yang bernada tinggi, orang Lewi yang berikut dipilih: Zakharia, Yaaziel, Semiramot, Yehiel, Uni, Eliab, Maaseya, dan Benaya.Untuk memainkan kecapi yang bernada rendah, orang Lewi yang berikut dipilih: Matica, Elifele, Mikneya, Azazya, dan Obed-Edom dan Yeiel, dua orang yang mengawal tempat Tabut Perjanjian.

22 Kenanya dipilih untuk mengetuai para pemuzik daripada suku Lewi, kerana dia pemuzik yang mahir.

23-24 Berekhya dan Elkana, bersama-sama Obed-Edom dan Yehia dipilih menjadi pengawal Tabut Perjanjian Allah. Para imam, iaitu Sebanya, Yosafat, Netaneel, Amasai, Zakharia, Benaya, dan Eliezer dipilih untuk meniup trompet di hadapan Tabut Perjanjian.