1 Mereka meletakkan Tabut Perjanjian itu di dalam khemah yang telah disediakan oleh Raja Daud. Kemudian mereka mempersembahkan korban-korban untuk menyenangkan hati TUHAN dan korban-korban untuk memohon berkat-Nya.
2 Setelah Raja Daud selesai mempersembahkan korban-korban itu, baginda memberkati umat Israel dengan nama TUHAN,
3 lalu membahagi-bahagikan makanan kepada mereka semua. Setiap orang yang ada di situ, baik lelaki mahupun perempuan diberi sebuku roti, sepotong daging panggang, dan seketul kuih kismis.
4 Raja Daud melantik beberapa orang Lewi untuk memimpin upacara ibadat kepada TUHAN, Allah Israel, di hadapan Tabut Perjanjian. Mereka menyanyikan lagu kesyukuran dan puji-pujian kepada TUHAN.
5 Asaf dilantik sebagai ketua dan Zakharia wakilnya. Yeiel, Semiramot, Yehiel, Matica, Eliab, Benaya, Obed-Edom, dan Yeiel ditugaskan untuk memainkan kecapi. Asaf ditugaskan untuk memainkan simbal,
6 dan dua orang imam, iaitu Benaya dan Yahaziel, ditugaskan secara tetap untuk meniup trompet di hadapan Tabut Perjanjian.
7 Itulah kali pertama Raja Daud menugaskan Asaf dan rakan-rakannya sesama orang Lewi untuk menyanyikan lagu puji-pujian kepada TUHAN.