38 dan dibantu oleh Obed-Edom anak Yedutun dan 68 orang lain daripada puaknya. Hosa dan Obed-Edom ialah pengawal pintu-pintu gerbang.
39 Imam Zadok dan imam-imam yang lain ditugaskan untuk mengurus ibadat kepada TUHAN di tempat beribadat di Gibeon.
40 Tiap-tiap pagi dan petang mereka harus mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, di atas mazbah, menurut Taurat yang diberikan oleh TUHAN kepada orang Israel.
41 Imam Zadok dan imam-imam itu dibantu oleh Heman dan Yedutun serta beberapa orang lain yang dipilih khas untuk menyanyikan lagu pujian kepada TUHAN kerana kasih-Nya yang kekal abadi.
42 Heman dan Yedutun juga mengurus trompet, simbal, serta alat muzik lain yang dipakai untuk mengiringi lagu-lagu pujian. Anggota-anggota puak Yedutun ditugaskan untuk mengawal pintu-pintu gerbang.
43 Kemudian semua orang pulang ke rumah masing-masing. Raja Daud juga pulang untuk bersama-sama keluarga baginda.