1 Tawarikh 19:2-8 BM

2 Raja Daud bertitah, “Raja Nahas ialah sahabat beta yang setia. Oleh itu beta juga harus setia bersahabat dengan Hanun, puteranya.” Oleh itu Raja Daud mengirim utusan-utusan untuk mengucapkan takziah kepada Raja Hanun kerana kemangkatan ayahanda baginda.Apabila utusan-utusan itu tiba di Amon,

3 para pemimpin negeri Amon berkata kepada Raja Hanun, “Janganlah tuanku berfikir bahawa Raja Daud mengirim utusan-utusan itu untuk menyampaikan takziah kerana baginda hendak menghormati ayahanda tuanku. Raja Daud mengirim semua orang itu ke sini sebagai pengintip untuk menyelidiki negeri kita, supaya dapat merampasnya!”

4 Raja Hanun menangkap para utusan Raja Daud, lalu mencukur janggut mereka, memotong pakaian mereka sependek punggung, kemudian menyuruh mereka pergi.

5 Para utusan itu sangat malu untuk pulang. Apabila hal itu diberitahukan kepada Raja Daud, baginda mengirim pesan supaya utusan-utusan itu tinggal di Yerikho sehingga janggut mereka tumbuh semula.

6 Kemudian Raja Hanun dan orang Amon sedar bahawa mereka telah menjadikan Raja Daud musuh mereka. Oleh itu mereka membayar 34,000 kilogram perak untuk menyewa kereta kuda dan pemandu-pemandu dari Hulu Mesopotamia, dan juga dari Maakha dan Zoba di negeri Siria.

7 Kereta kuda sebanyak 32,000 buah yang disewa mereka itu, serta tentera raja Maakha datang berkhemah dekat Medeba. Orang Amon juga keluar dari semua kota mereka dan bersedia untuk berperang.

8 Apabila Raja Daud mendengar perkara itu, baginda menyuruh Yoab dengan segenap angkatan tentera supaya maju melawan musuh.