4 Raja Hanun menangkap para utusan Raja Daud, lalu mencukur janggut mereka, memotong pakaian mereka sependek punggung, kemudian menyuruh mereka pergi.
5 Para utusan itu sangat malu untuk pulang. Apabila hal itu diberitahukan kepada Raja Daud, baginda mengirim pesan supaya utusan-utusan itu tinggal di Yerikho sehingga janggut mereka tumbuh semula.
6 Kemudian Raja Hanun dan orang Amon sedar bahawa mereka telah menjadikan Raja Daud musuh mereka. Oleh itu mereka membayar 34,000 kilogram perak untuk menyewa kereta kuda dan pemandu-pemandu dari Hulu Mesopotamia, dan juga dari Maakha dan Zoba di negeri Siria.
7 Kereta kuda sebanyak 32,000 buah yang disewa mereka itu, serta tentera raja Maakha datang berkhemah dekat Medeba. Orang Amon juga keluar dari semua kota mereka dan bersedia untuk berperang.
8 Apabila Raja Daud mendengar perkara itu, baginda menyuruh Yoab dengan segenap angkatan tentera supaya maju melawan musuh.
9 Orang Amon keluar dan mengatur tentera mereka di hadapan pintu gerbang Raba, ibu kota mereka; sedangkan raja-raja yang datang untuk membantu mereka, mengatur tentera mereka di padang.
10 Yoab menyedari bahawa dia terjepit oleh pasukan musuh di hadapan dan di belakang. Oleh itu dia memilih askar-askar Israel yang terbaik dan menempatkan mereka berhadapan dengan tentera Siria.