1 Iblis hendak menyusahkan orang Israel; oleh itu dia membujuk Raja Daud supaya membanci penduduk Israel.
2 Raja Daud memerintah Yoab dan pegawai-pegawainya yang lain, “Bancilah penduduk di seluruh pelosok Israel, kerana beta ingin tahu jumlah rakyat Israel.”
3 Yoab menjawab, “Semoga TUHAN melipatgandakan bilangan rakyat Israel sampai seratus kali ganda daripada bilangan yang ada sekarang ini. Tuanku, tidakkah jelas bahawa mereka takluk kepada tuanku? Mengapa harus mengadakan pembancian? Nanti, kerana kesalahan itu, segenap bangsa akan menanggung akibatnya!”
4 Namun raja tetap berpegang pada perintahnya, maka Yoab pergi ke seluruh pelosok Israel, kemudian kembali ke Yerusalem.
5 Yoab melaporkan hasil pembancian itu kepada Raja Daud. Jumlah lelaki yang memenuhi syarat untuk masuk tentera adalah 1,100,000 orang di Israel dan 470,000 orang di Yehuda.
6 Tetapi suku Lewi dan suku Benyamin tidak termasuk jumlah itu. Yoab tidak membanci mereka kerana dia tidak bersetuju dengan perintah raja itu.