11 Gad menghadap Raja Daud dan menyampaikan firman TUHAN itu, katanya, “Yang mana satu pilihan tuanku?
12 Negeri ini ditimpa bencana kebuluran selama tiga tahun, atau tuanku lari dikejar musuh selama tiga bulan, atau selama tiga hari seluruh negeri ini diserang oleh TUHAN dengan pedang-Nya yang berupa wabak dan malaikat-Nya membawa maut ke serata tempat. Jawapan apakah yang harus hamba sampaikan kepada TUHAN?”
13 Raja Daud bertitah kepada Gad, “Keadaan beta sungguh terdesak! Janganlah manusia menghukum beta. Lebih baik TUHAN sendiri yang menghukum beta, kerana rahmat-Nya besar.”
14 Oleh itu TUHAN mendatangkan wabak kepada orang Israel sehingga 70,000 orang antara mereka mati.
15 Kemudian TUHAN mengutus satu malaikat untuk memusnahkan Yerusalem. Tetapi ketika malaikat itu berada dekat tempat mengirik gandum kepunyaan Arauna orang Yebusi, TUHAN mengubah keputusan-Nya untuk menghukum Yerusalem. Dia berfirman kepada malaikat itu, “Cukuplah! Berhenti!”
16 Raja Daud nampak malaikat itu berdiri di antara langit dan bumi, sambil memegang pedang yang terhunus, sedia untuk memusnahkan Yerusalem. Maka Raja Daud dan para pemimpin, yang berpakaian kain guni sebagai tanda menyesal, sujud ke tanah.
17 Raja Daud berdoa, “Ya Allah, akulah yang bersalah. Akulah yang menyuruh orang mengadakan pembancian itu. Apakah kesalahan bangsa ini? Ya TUHAN, Allahku, hukumlah aku dan keluargaku, tetapi jauhkanlah malapetaka ini daripada umat-Mu.”