1 Oleh itu Raja Daud bertitah, “Di tempat inilah Rumah TUHAN Allah harus dibina, dan di mazbah inilah orang Israel harus mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN.”
2 Raja Daud memberikan perintah supaya semua orang asing yang tinggal di negeri Israel berkumpul, lalu baginda menyuruh mereka bekerja. Sebilangan daripada mereka memahat batu untuk membina Rumah TUHAN.
3 Raja Daud menyediakan banyak sekali besi untuk membuat paku dan engsel bagi pintu-pintu gerbang Rumah TUHAN. Baginda juga menyediakan begitu banyak gangsa sehingga tidak dapat ditimbang.
4 Raja Daud memesan sejumlah besar kayu sedar daripada orang Tirus dan Sidon.
5 Raja Daud melakukan semuanya kerana baginda berfikir begini, “Aku harus menyediakan apa yang diperlukan untuk pembinaan Rumah TUHAN. Salomo, puteraku masih muda dan kurang pengalaman, sedangkan Rumah TUHAN yang akan dibina itu harus sangat indah dan termasyhur di seluruh dunia.” Oleh itu sebelum Raja Daud mangkat, baginda menyediakan banyak sekali bahan binaan.
6 Raja Daud memanggil Salomo, putera baginda dan memerintah dia untuk membina sebuah rumah bagi TUHAN Allah yang disembah umat Israel.