17 Aku tahu bahawa Engkau menguji hati setiap orang dan Engkau berkenan kepada orang yang murni hatinya. Dengan tulus ikhlas dan rela hati, aku mempersembahkan semua ini kepada-Mu. Aku telah menyaksikan umat-Mu yang berkumpul di sini membawa persembahan mereka kepada-Mu dengan senang hati.
18 Ya TUHAN Allah, yang disembah oleh Abraham, Ishak, dan Yakub, nenek moyang kami, kiranya Engkau menjaga umat-Mu supaya tetap mengasihi Engkau seperti sekarang ini, dan tolonglah supaya mereka setia kepada-Mu untuk selama-lamanya.
19 Kurniailah anakku, Salomo, keinginan yang sungguh-sungguh untuk mentaati semua perintah-Mu dan untuk membina rumah ibadat yang persiapannya telah kusediakan.”
20 Selepas berdoa demikian, Raja Daud bertitah kepada orang ramai yang berkumpul di situ, “Pujilah TUHAN Allah kamu!” Kemudian semua orang itu memuji-muji TUHAN, Allah yang disembah nenek moyang mereka. Selepas itu mereka bersujud untuk menghormati TUHAN dan raja.
21 Esok harinya, mereka menyembelih binatang-binatang untuk dipersembahkan sebagai korban kepada TUHAN. Kemudian korban-korban itu diberikan kepada segenap rakyat. Selain itu ada 1,000 ekor lembu jantan, 1,000 ekor domba jantan, dan 1,000 ekor domba muda yang dipersembahkan sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN, di atas mazbah. Mereka juga mempersembahkan wain yang diwajibkan untuk korban-korban itu.
22 Pada hari itu mereka makan dan minum dengan gembira di hadapan TUHAN.Kemudian untuk kali kedua mereka mengisyhtiharkan Salomo sebagai raja. Atas nama TUHAN, mereka melantik Salomo menjadi raja, dan Zadok menjadi imam.
23 Sebagai pengganti Raja Daud ayahandanya, Salomo naik takhta yang telah ditetapkan oleh TUHAN. Raja Salomo ialah raja yang berjaya dan ditaati oleh segenap bangsa Israel.