17 Para pengawal Rumah TUHAN yang tinggal di Yerusalem bersama dengan sanak saudara mereka ialah Salum, Akub, Talmon, dan Ahiman. Salum ialah ketua pengawal.
18 Sampai hari ini, orang daripada puak mereka ditugaskan untuk mengawal Pintu Gerbang Raja di sebelah timur. Sebelum itu mereka mengawal pintu-pintu gerbang yang menuju ke perkhemahan orang Lewi.
19 Salum anak Kore, cucu Ebyasaf, bersama-sama beberapa orang lain daripada puak Korah, iaitu puaknya, ditugaskan untuk mengawal pintu masuk ke Khemah TUHAN. Dahulu nenek moyang mereka pun melakukan tugas itu ketika mereka bekerja di perkhemahan TUHAN.
20 Pinehas anak lelaki Eleazar pernah mengetuai mereka. Semoga TUHAN menyertai dia!
21 Zakharia anak Meselemya juga pengawal pintu ke Khemah TUHAN.
22 Semua orang yang dipilih untuk mengawal pintu-pintu gerbang berjumlah 212 orang. Mereka didaftarkan menurut nama pekan yang menjadi tempat tinggal mereka. Nenek moyang mereka diberikan tugas itu oleh Raja Daud dan Nabi Samuel.
23 Sejak itu mereka dan keturunan mereka tetap menjadi pengawal pintu gerbang Rumah TUHAN.