22 Semua orang yang dipilih untuk mengawal pintu-pintu gerbang berjumlah 212 orang. Mereka didaftarkan menurut nama pekan yang menjadi tempat tinggal mereka. Nenek moyang mereka diberikan tugas itu oleh Raja Daud dan Nabi Samuel.
23 Sejak itu mereka dan keturunan mereka tetap menjadi pengawal pintu gerbang Rumah TUHAN.
24 Ada empat buah pintu: satu di utara, satu di selatan, satu di timur, dan satu di barat. Setiap pintu mempunyai seorang ketua pengawal.
25 Para pengawal itu dibantu oleh sanak saudara mereka yang tinggal di pekan-pekan. Mereka bergilir-gilir bertugas selama tujuh hari pada setiap satu giliran.
26 Keempat-empat ketua pengawal itu orang Lewi, dan mereka bertugas secara tetap. Mereka bertanggungjawab mengurus bilik-bilik di Rumah TUHAN dan barang-barang yang disimpan di situ.
27 Mereka tinggal dekat Rumah TUHAN, kerana mereka harus mengawal Rumah TUHAN dan membuka pintu-pintunya tiap-tiap pagi.
28 Orang Lewi yang lain bertanggungjawab mengurus perkakas yang dipakai untuk ibadat. Mereka menghitung perkakas itu apabila dikeluarkan dan disimpan semula.