6 Raja Adoni-Bezek melarikan diri, tetapi mereka mengejar dan menangkap baginda. Mereka memotong ibu jari tangan dan ibu jari kakinya.
7 Raja Adoni-Bezek bertitah, “Dahulu beta memotong ibu jari tangan dan ibu jari kaki tujuh puluh orang raja, dan mereka memungut sisa makanan di bawah meja beta. Sekarang Allah memperlakukan beta seperti beta memperlakukan mereka.” Kemudian Raja Adoni-Bezek dibawa ke Yerusalem, lalu baginda mangkat di sana.
8 Orang Yehuda menyerang Yerusalem, lalu merebut dan membakar kota itu, serta membunuh penduduknya.
9 Selepas itu mereka berperang dengan orang Kanaan yang tinggal di kawasan perbukitan, di kaki-kaki bukit, dan di kawasan tanah gersang di sebelah selatan.
10 Orang Yehuda menyerang orang Kanaan yang tinggal di kota Hebron, yang dahulu dinamakan Kiryat-Arba. Di situ mereka mengalahkan puak Sesai, Ahiman, dan Talmai.
11 Dari Hebron, orang Yehuda menyerang kota Debir, yang pada waktu itu dinamakan Kiryat-Sefer.
12 Salah seorang daripada suku Yehuda itu, yang bernama Kaleb berkata, “Aku akan mengahwinkan anak perempuanku, Akhsa, dengan orang yang berjaya merebut Kiryat-Sefer.”