Hakim-Hakim 9 BM

Abimelekh

1 Pada suatu hari, Abimelekh anak Gideon pergi ke kota Sikhem, tempat kaum keluarga ibunya. Di sana dia menyuruh mereka

2 bertanya kepada penduduk Sikhem, “Yang manakah lebih baik? Diperintah oleh tujuh puluh orang anak lelaki Gideon atau oleh seorang saja? Ingatlah bahawa Abimelekh masih ada hubungan darah dengan kamu.”

3 Saudara mara ibu Abimelekh merundingkan hal itu dengan penduduk Sikhem bagi Abimelekh. Kemudian penduduk Sikhem mengambil keputusan untuk mengikut Abimelekh, kerana Abimelekh masih ada hubungan darah dengan mereka.

4 Mereka memberi Abimelekh tujuh puluh keping perak dari kuil Baal-Berit. Dengan wang itu Abimelekh mengupah segerombolan orang jahat untuk bergabung dengannya.

5 Selepas itu dia pergi ke rumah bapanya di Ofra. Di sana, di atas sebuah batu dia membunuh tujuh puluh orang anak lelaki Gideon, saudara-saudaranya itu. Tetapi Yotam, anak bongsu Gideon, menyembunyikan diri sehingga tidak terbunuh.

6 Kemudian penduduk Sikhem dan Bet-Milo berkumpul. Mereka pergi ke bawah pokok oak, iaitu pokok keramat di Sikhem, lalu menabalkan Abimelekh menjadi raja.

7 Apabila Yotam mendengar hal itu, dia berdiri di puncak Gunung Gerizim lalu berseru kepada mereka, “Dengarkan perkataanku, hai penduduk Sikhem, supaya Allah pun mendengarkan kamu!

8 Pada suatu masa, pokok-pokok berkumpul untuk memilih salah satu di kalangan mereka sebagai raja. Mereka berkata kepada pokok zaitun, ‘Jadilah raja kami.’

9 Pokok zaitun menjawab, ‘Aku tidak dapat berhenti menghasilkan minyak yang digunakan untuk menghormati dewa dan manusia, semata-mata untuk memerintah kamu.’

10 Kemudian pokok-pokok itu berkata kepada pokok ara, ‘Kamu sajalah yang menjadi raja kami.’

11 Tetapi pokok ara itu menjawab, ‘Aku tidak dapat berhenti menghasilkan buah yang manis, semata-mata untuk memerintah kamu.’

12 Oleh sebab itu, pokok-pokok itu berkata kepada pokok anggur, ‘Kamu sajalah yang menjadi raja kami.’

13 Tetapi pokok anggur itu menjawab, ‘Aku tidak dapat berhenti menghasilkan wain yang menyukakan hati dewa dan manusia, semata-mata untuk memerintah kamu.’

14 Oleh sebab itu, semua pokok itu berkata kepada semak berduri, ‘Kamu sajalah yang menjadi raja kami.’

15 Semak berduri menjawab, ‘Jika dengan tulus hati kamu mahu aku menjadi raja kamu, marilah berlindung di bawah naunganku. Tetapi jika tidak, api akan keluar dari cabang-cabangku yang berduri dan membakar semua pokok sedar di Lebanon.’ ”

16 “Ingatlah baik-baik,” Yotam meneruskan lagi, “Adakah kamu tulus hati ketika kamu menabalkan Abimelekh menjadi raja? Adakah kamu menghormati Gideon dan memperlakukan keluarganya dengan sepatutnya kerana jasanya?

17 Ingatlah bahawa bapaku telah berjuang untuk kamu. Dia telah mempertaruhkan nyawanya untuk membebaskan kamu daripada orang Midian.

18 Tetapi sekarang kamu memberontak terhadap keluarga bapaku. Kamu membunuh tujuh puluh orang anak lelakinya di atas sebuah batu, lalu menabalkan Abimelekh semata-mata kerana dia saudara kamu. Abimelekh ialah anak bapaku daripada hamba perempuannya.

19 Jika tindakan kamu terhadap Gideon dan keluarganya pada hari ini memang dilakukan dengan tulus dan ikhlas, bergembiralah kamu dengan Abimelekh, dan biarlah dia juga bergembira dengan kamu.

20 Tetapi jika tidak, biarlah api keluar daripada Abimelekh lalu membakar habis penduduk Sikhem dan Bet-Milo. Begitu juga, biarlah api keluar dari penduduk Sikhem dan Bet-Milo lalu membakar habis Abimelekh.”

21 Selepas itu Yotam lari lalu tinggal di Beer kerana dia takut terhadap Abimelekh, saudaranya itu.

22 Abimelekh memerintah Israel selama tiga tahun.

23 Selepas itu TUHAN menimbulkan permusuhan antara Abimelekh dengan penduduk Sikhem, sehingga mereka memberontak terhadap Abimelekh.

24 Hal itu berlaku supaya terbalas kejahatan Abimelekh dan penduduk Sikhem yang menghasut dia membunuh tujuh puluh orang anak lelaki Gideon.

25 Penduduk Sikhem menempatkan pengadang di puncak-puncak gunung untuk menangkap Abimelekh. Setiap orang yang lalu di situ dirompak oleh pengadang-pengadang itu. Kemudian hal itu dilapor kepada Abimelekh.

26 Pada masa itu, Gaal anak Ebed berpindah ke Sikhem dengan saudara-saudaranya. Penduduk Sikhem percaya kepadanya.

27 Mereka semua pergi ke ladang anggur dan memetik buah anggur. Lalu mereka memeras buah anggur itu, menyediakan wain, dan mengadakan pesta. Mereka makan minum di dalam kuil dewa mereka, sambil memperolok-olokkan Abimelekh.

28 Gaal berkata, “Kita ini penduduk Sikhem. Tetapi siapakah Abimelekh sehingga kita mesti menjadi hambanya? Bukankah dia anak Gideon? Abimelekh dengan Zebul, wakilnya pernah diperhambakan Hemor, bapa Sikhem, nenek moyang kita. Mengapa kita mesti diperhambakan oleh Abimelekh? Setialah kepada nenek moyang kita Hemor!

29 Andaikata saya menjadi pemimpin penduduk Sikhem, saya pasti akan melenyapkan Abimelekh! Saya akan berkata kepadanya, ‘Perkuatlah tentera kamu, dan keluarlah untuk berperang!’ ”

30 Zebul, penguasa kota Sikhem, marah ketika dia mendengar cabaran Gaal.

31 Zebul mengutus orang menyampaikan pesan ini kepada Abimelekh di Aruma, “Gaal anak Ebed dan saudara-saudaranya telah datang ke Sikhem. Mereka telah menghasut penduduk kota ini supaya melawan tuan.

32 Oleh itu, hendaklah tuan dan anak buah tuan berangkat pada waktu malam lalu bersembunyi di ladang.

33 Esok pagi, ketika fajar menyingsing, seranglah kota itu dengan mendadak. Apabila Gaal dan anak buahnya keluar melawan tuan, itulah kesempatan tuan untuk menyerang mereka dengan segenap kekuatan!”

34 Kemudian Abimelekh dan anak buahnya bergerak pada waktu malam. Mereka berpecah menjadi empat pasukan lalu pergi bersembunyi di luar kota Sikhem.

35 Apabila Gaal keluar dan berdiri di pintu gerbang kota, Abimelekh dan anak buahnya keluar dari tempat persembunyian.

36 Ketika Gaal nampak mereka, dia berkata kepada Zebul, “Lihat, ada orang turun ke mari dari puncak-puncak gunung!”Tetapi Zebul berkata, “Ah, itu cuma bayang-bayang di gunung; bukan orang.”

37 Gaal berkata lagi, “Lihatlah, orang sedang turun dari rabung gunung, dan sekumpulan orang sedang menuju ke mari dari arah pokok oak tukang tilik!”

38 Zebul berkata kepada Gaal, “Nah, selama ini kamu pandai bercakap besar. Dahulu kamu bertanya, ‘Mengapa kita harus menjadi hamba Abimelekh?’ Inilah mereka yang kamu hina. Ayuh, majulah dan seranglah mereka.”

39 Gaal memimpin orang Sikhem keluar untuk melawan Abimelekh.

40 Tetapi Abimelekh menyerang Gaal sehingga dia melarikan diri. Orang yang cedera berjatuhan, sampai di depan pintu gerbang kota.

41 Kemudian Abimelekh kembali ke Aruma, lalu menetap di sana. Zebul mengusir Gaal dan saudara-saudaranya sehingga mereka tidak dapat tinggal di Sikhem lagi.

42 Esok harinya, Abimelekh diberitahu bahawa penduduk Sikhem bercadang untuk pergi ke ladang.

43 Oleh itu Abimelekh membawa anak buahnya, membahagikan mereka kepada tiga pasukan, lalu bersembunyi di ladang. Apabila Abimelekh nampak penduduk kota itu meninggalkan kota, dia keluar dari tempat persembunyian lalu membunuh mereka.

44 Abimelekh dan pasukannya cepat-cepat maju menyerbu pintu gerbang kota itu. Sementara itu dua pasukannya yang lain menyerang orang yang di ladang dan membunuh mereka semua.

45 Abimelekh berperang dengan penduduk kota itu sepanjang hari. Dia merebut kota itu dan membunuh penduduknya. Kemudian dia menghancurkan kota itu, lalu menaburinya dengan garam.

46 Apabila semua pemimpin di dalam kubu di Sikhem mendengar hal itu, mereka masuk ke dalam kubu di bawah kuil El-Berit untuk berlindung.

47 Abimelekh diberitahu bahawa mereka telah berkumpul di sana.

48 Oleh itu Abimelekh pergi ke Gunung Zalmon bersama dengan anak buahnya. Di sana dia memotong dahan-dahan kayu dengan kapak, lalu memikul dahan-dahan itu. Dia menyuruh anak buahnya cepat-cepat berbuat begitu juga.

49 Masing-masing menebang dahan-dahan kayu, lalu mengikut Abimelekh dan menimbun dahan-dahan itu di mulut kubu kuil. Kemudian mereka membakar dahan-dahan itu ketika orang Sikhem masih di dalam kubu. Oleh itu penduduk Sikhem semuanya mati - kira-kira seribu orang lelaki dan perempuan.

50 Kemudian Abimelekh pergi ke Tebes. Dia mengepung kota itu dan merebutnya.

51 Di tengah-tengah kota itu ada sebuah menara yang kukuh. Semua orang lelaki dan perempuan di kota itu, termasuk para pemimpinnya, lari ke menara itu. Mereka mengunci pintunya dari dalam lalu naik ke atas.

52 Kemudian Abimelekh tiba untuk menyerang menara itu. Apabila dia sampai ke pintu menara itu dan hendak membakarnya,

53 seorang perempuan menjatuhkan sebuah batu kisaran ke atas kepala Abimelekh sehingga meretakkan tempurung kepalanya.

54 Dengan segera Abimelekh memanggil pemuda yang membawa senjatanya, lalu berkata, “Hunuslah pedangmu dan bunuhlah aku. Aku tidak mahu dikatakan orang bahawa aku dibunuh oleh seorang perempuan.” Pemuda itu menikamnya, lalu Abimelekh meninggal.

55 Apabila umat Israel nampak bahawa Abimelekh telah meninggal, mereka semua pulang.

56 Demikianlah Allah membalas kejahatan Abimelekh terhadap bapanya kerana membunuh tujuh puluh orang saudara Abimelekh.

57 Allah juga menyebabkan penduduk Sikhem menderita kerana kejahatan mereka, sebagaimana yang dikatakan Yotam anak Gideon ketika dia mengutuk mereka.

Bab

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20 21