1 Umat Israel berdosa lagi terhadap TUHAN, lalu TUHAN membiarkan orang Filistin menguasai mereka selama empat puluh tahun.
2 Pada masa itu, ada seorang lelaki bernama Manoah, yang berasal dari kota Zora. Dia seorang daripada suku Dan. Isterinya mandul.
3 Pada suatu hari, malaikat TUHAN menampakkan diri kepada isteri Manoah dan berkata, “Selama ini engkau tidak mempunyai anak, tetapi tidak lama lagi engkau akan mengandung dan melahirkan seorang anak lelaki.
4 Oleh itu jagalah dirimu baik-baik. Jangan minum wain atau minuman keras, dan jangan makan makanan haram.
5 Selepas anakmu lahir, jangan sekali-kali potong rambutnya kerana sejak hari kelahirannya, anak itu akan ditahbiskan kepada Allah sebagai orang Nazir. Dia akan mula membebaskan umat Israel daripada kekuasaan orang Filistin.”
6 Kemudian perempuan itu pergi kepada suaminya dan berkata, “Seorang utusan Allah datang kepadaku. Rupanya seperti malaikat Allah sehingga aku ketakutan. Aku tidak bertanya dari mana dia datang, dan dia pun tidak memberitahukan namanya.
7 Tetapi dia berkata bahawa aku akan mengandung dan melahirkan seorang anak lelaki. Dia melarang aku minum wain atau minuman keras ataupun makan makanan haram, kerana katanya, anak itu akan ditahbiskan kepada Allah sebagai orang Nazir seumur hidupnya.”
8 Kemudian Manoah berdoa kepada TUHAN, “Ya TUHAN, semoga Engkau mengutus hamba-Mu itu datang lagi kepada kami, dan memberitahu kami apa yang mesti kami lakukan terhadap anak itu selepas dia lahir.”
9 Allah mengabulkan permohonan Manoah. Malaikat Allah itu datang lagi kepada isteri Manoah ketika dia di ladang. Pada masa itu Manoah tidak bersama-sama isterinya.
10 Perempuan itu lari dengan tergesa-gesa dan memberitahu suaminya, “Lihatlah, orang yang datang kepadaku dahulu sudah datang lagi.”
11 Manoah segera mengikut isterinya. Dia mendekati orang itu dan bertanya, “Tuankah yang membawa berita kepada isteri saya dahulu?”“Ya,” jawabnya.
12 Kemudian Manoah bertanya, “Jika apa yang tuan katakan itu berlaku kelak, apakah yang harus dilakukan oleh anak itu? Bagaimanakah cara hidupnya nanti?”
13 Malaikat TUHAN itu menjawab, “Hendaklah isterimu memperhatikan pesanku.
14 Dia tidak boleh makan apa-apa pun yang berasal dari pokok anggur; dia tidak boleh minum wain atau minuman keras, ataupun makan makanan haram. Dia mesti melakukan segala pesanku.”
15-16 Manoah tidak tahu bahawa yang berkata-kata dengannya itu malaikat TUHAN. Oleh itu dia berkata kepadanya, “Sudilah menunggu sebentar. Kami akan memasak kambing muda untuk tuan.”Tetapi malaikat itu berkata, “Walaupun aku menunggu di sini, aku tidak akan makan hidanganmu itu. Tetapi jika engkau hendak menyediakannya juga, persembahkan makanan itu sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN.”
17 Manoah berkata, “Siapakah nama tuan, supaya kami dapat menghormati tuan apabila hal yang tuan katakan itu berlaku.”
18 Malaikat TUHAN itu bertanya, “Mengapa engkau hendak tahu namaku? Namaku itu nama yang mengagumkan.”
19 Oleh itu Manoah mengambil seekor anak kambing dan korban untuk mengucap syukur, lalu meletakkannya di atas batu dan mempersembahkannya kepada TUHAN, iaitu TUHAN yang melakukan perkara yang mengagumkan.
20-21 Sedang nyala api naik ke atas dari mazbah itu, Manoah dan isterinya nampak malaikat TUHAN menuju ke langit di dalam nyala api itu. Barulah Manoah sedar bahawa yang dilihatnya ialah malaikat TUHAN. Kemudian dia dan isterinya sujud menyembah. Mereka tidak pernah nampak malaikat itu lagi.
22 Manoah berkata kepada isterinya, “Kita pasti akan mati, kerana kita telah nampak Allah!”
23 Tetapi isterinya menjawab, “Jika TUHAN mahu membunuh kita, tentu Dia tidak mahu menerima korban untuk menyenangkan hati TUHAN dan korban untuk mengucap syukur daripada kita. Dia juga tidak akan menunjukkan segala perkara ini kepada kita, ataupun memberitahunya kepada kita pada masa ini.”
24 Beberapa bulan kemudian, perempuan itu melahirkan seorang anak lelaki. Anak itu dinamakannya Simson. Anak itu membesar dan TUHAN memberkati dia.
25 Kuasa TUHAN mula menguatkan dia ketika dia di Perkhemahan Dan, yang terletak di antara Zora dan Esytaol.