8 Selama lapan belas tahun mereka menindas dan menganiaya orang Israel yang tinggal di Gilead, iaitu di wilayah orang Amori di sebelah timur Sungai Yordan.
9 Orang Amon juga menyeberang Sungai Yordan untuk memerangi suku Yehuda, Benyamin, dan Efraim sehingga umat Israel sangat menderita.
10 Kemudian umat Israel berseru kepada TUHAN. Mereka berkata, “Kami telah berdosa terhadap-Mu, ya Allah, kerana kami meninggalkan Engkau lalu menyembah dewa-dewa Baal.”
11 TUHAN menjawab umat Israel, “Orang Mesir, Amori, Amon, Filistin,
12 Sidon, Amalek, dan Maon telah menindas kamu pada masa yang lalu, dan kamu telah berseru kepada-Ku. Tidakkah Aku menyelamatkan kamu daripada kuasa mereka?
13 Tetapi meskipun begitu, kamu masih juga meninggalkan Aku dan menyembah dewa-dewa. Sekarang Aku tidak mahu menyelamatkan kamu lagi.
14 Pergilah minta tolong kepada dewa-dewa yang telah kamu pilih itu. Biarlah dewa-dewa itu menyelamatkan kamu apabila kamu dalam kesusahan.”