34 Apabila Yefta kembali ke Mizpa, anak perempuannya datang menyambut dia, sambil menari dan memukul tamburin. Dia anak tunggal Yefta.
35 Ketika Yefta nampak anaknya, dia mengoyak-ngoyakkan pakaiannya kerana dukacita. Katanya, “Aduh anakku, hancurlah hatiku! Mengapakah harus anakku yang menjadikan hatiku pedih? Aku telah bersumpah kepada TUHAN dan aku tidak dapat memungkiri janjiku!”
36 Anaknya menjawab, “Jika ayah telah bersumpah kepada TUHAN, lakukanlah apa saja terhadap diri saya untuk memenuhi janji ayah itu. TUHAN telah memperkenankan ayah membalas dendam terhadap orang Amon, musuh ayah itu.”
37 Anak perempuan itu berkata lagi kepada bapanya, “Saya cuma mohon satu hal: Berilah saya masa dua bulan, supaya saya dapat mengembara di pergunungan bersama dengan sahabat-sahabat saya. Di sana saya akan bersedih kerana saya mesti meninggal ketika masih dara.”
38 Bapanya membenarkan dia pergi selama dua bulan. Dia pergi bersama dengan sahabat-sahabatnya ke pergunungan untuk bersedih di sana kerana dia akan meninggal sebelum berkahwin dan mempunyai anak.
39 Selepas dua bulan, dia kembali kepada bapanya, lalu bapanya melakukan apa yang telah dijanjikannya kepada TUHAN. Oleh itu anak perempuannya meninggal ketika masih dara.Itulah asal usul adat di Israel, bahawa
40 anak-anak dara pergi selama empat hari tiap-tiap tahun untuk bersedih hati mengenangkan anak perempuan Yefta dari Gilead.