5 Maka Simson pergi ke Timna bersama dengan ibu bapanya. Apabila mereka melalui ladang anggur di situ, Simson mendengar auman seekor singa muda.
6 Tiba-tiba Simson menjadi kuat oleh kuasa TUHAN. Lalu Simson mencabik-cabikkan singa itu dengan tangannya, seolah-olah binatang itu hanya seekor anak kambing. Simson tidak memberitahu perkara itu kepada ibu bapanya.
7 Kemudian Simson menemui gadis itu dan bercakap-cakap dengannya. Simson suka kepadanya.
8 Selepas beberapa waktu, Simson kembali ke tempat itu untuk mengahwini gadis itu. Di tengah jalan, Simson menyimpang hendak melihat singa yang telah dibunuhnya itu. Ketika sampai di situ dia melihat sekawanan lebah dan juga madu di dalam bangkai singa itu.
9 Dia mengambil madu itu dengan tangannya, lalu berjalan terus sambil memakan madu itu. Dia memberikan sedikit madu kepada ibu bapanya, lalu mereka pun memakannya. Tetapi Simson tidak memberitahu mereka bahawa dia telah mengambil madu itu dari dalam bangkai seekor singa.
10 Bapa Simson pergi ke rumah gadis itu, lalu Simson mengadakan jamuan di sana menurut adat pemuda pada masa itu.
11 Ketika orang Filistin nampak Simson, mereka menyuruh tiga puluh orang pemuda menemani dia.