3 Simson berkata, “Apa yang akan saya lakukan terhadap orang Filistin kali ini, bukanlah kesalahan saya.”
4 Kemudian dia pergi menangkap tiga ratus ekor rubah. Dia mengikat ekor rubah-rubah itu berdua-dua. Pada simpul ikatan itu, dia menaruh sebuah suluh.
5 Selepas itu dia menyalakan suluh-suluh itu, lalu melepaskan rubah-rubah itu di ladang orang Filistin. Oleh itu semua gandum yang telah dituai di sana terbakar; bahkan tanaman gandum, ladang anggur, dan kebun zaitun pun ikut terbakar.
6 Orang Filistin menyiasat siapa yang telah melakukan perkara itu. Kemudian mereka diberitahukan bahawa Simson telah melakukannya kerana bapa mentuanya di Timna telah memberikan isteri Simson kepada sahabat Simson. Oleh sebab itu, orang Filistin membakar perempuan itu dan seisi rumah bapanya.
7 Simson berkata kepada mereka, “Beginikah tindakan kamu? Aku bersumpah bahawa aku tidak akan diam sehingga aku telah membalas dendamku.”
8 Kemudian dia menyerang semua orang itu dengan kejam dan membunuh banyak antara mereka. Selepas itu dia bersembunyi di dalam gua di bukit batu di Etam.
9 Orang Filistin datang ke wilayah Yehuda dan berkhemah di situ. Kemudian mereka menyerang kota Lehi.