5 Selepas itu dia menyalakan suluh-suluh itu, lalu melepaskan rubah-rubah itu di ladang orang Filistin. Oleh itu semua gandum yang telah dituai di sana terbakar; bahkan tanaman gandum, ladang anggur, dan kebun zaitun pun ikut terbakar.
6 Orang Filistin menyiasat siapa yang telah melakukan perkara itu. Kemudian mereka diberitahukan bahawa Simson telah melakukannya kerana bapa mentuanya di Timna telah memberikan isteri Simson kepada sahabat Simson. Oleh sebab itu, orang Filistin membakar perempuan itu dan seisi rumah bapanya.
7 Simson berkata kepada mereka, “Beginikah tindakan kamu? Aku bersumpah bahawa aku tidak akan diam sehingga aku telah membalas dendamku.”
8 Kemudian dia menyerang semua orang itu dengan kejam dan membunuh banyak antara mereka. Selepas itu dia bersembunyi di dalam gua di bukit batu di Etam.
9 Orang Filistin datang ke wilayah Yehuda dan berkhemah di situ. Kemudian mereka menyerang kota Lehi.
10 Penduduk Yehuda bertanya kepada mereka, “Mengapa kamu menyerang kami?”Mereka menjawab, “Kami datang untuk menangkap Simson dan membalas perbuatannya.”
11 Oleh itu tiga ribu orang Yehuda pergi ke gua di bukit batu di Etam. Di sana mereka berkata kepada Simson, “Tidakkah kamu tahu bahawa orang Filistin menguasai kita? Mengapa kamu melakukan perkara ini terhadap kami?”Simson menjawab, “Aku pun hanya membalas perbuatan mereka.”