10-11 Tetapi orang Lewi itu tidak mahu menginap lagi. Dia dan gundiknya berangkat, bersama-sama hambanya dan dua ekor keldainya yang berpelana. Ketika hari hampir malam, mereka sampai dekat Yebus (iaitu Yerusalem). Oleh itu hambanya berkata kepadanya, “Tuan, marilah kita berhenti dan menginap di kota orang Yebusi ini.”
12-13 Tetapi tuannya berkata, “Tidak! Kita tidak akan berhenti di kota orang bukan Israel. Kita akan meneruskan perjalanan sedikit lagi dan menginap di Gibea atau Rama.”
14 Oleh itu mereka melalui Yebus dan meneruskan perjalanan. Matahari telah terbenam ketika mereka tiba di Gibea, di wilayah suku Benyamin.
15 Mereka singgah di kota itu kerana hendak menginap di sana. Mereka duduk di lapangan kota, tetapi tiada sesiapa pun yang menjemput mereka bermalam di rumah.
16 Sementara mereka duduk di lapangan kota, datanglah seorang tua yang baru pulang dari pekerjaannya di ladang. Orang tua itu berasal dari perbukitan Efraim tetapi sekarang dia tinggal di Gibea. (Kebanyakan penduduk di situ orang suku Benyamin.)
17 Apabila orang tua itu nampak orang Lewi itu di lapangan kota, dia bertanya kepadanya, “Kamu dari mana dan kamu hendak ke mana?”
18 Orang Lewi itu menjawab, “Kami baru datang dari Betlehem di Yehuda dan sedang dalam perjalanan pulang ke rumah di pedalaman perbukitan Efraim. Saya berasal dari sana. Tiada sesiapa pun yang hendak memberi kami penginapan di kota ini.