15 Mereka singgah di kota itu kerana hendak menginap di sana. Mereka duduk di lapangan kota, tetapi tiada sesiapa pun yang menjemput mereka bermalam di rumah.
16 Sementara mereka duduk di lapangan kota, datanglah seorang tua yang baru pulang dari pekerjaannya di ladang. Orang tua itu berasal dari perbukitan Efraim tetapi sekarang dia tinggal di Gibea. (Kebanyakan penduduk di situ orang suku Benyamin.)
17 Apabila orang tua itu nampak orang Lewi itu di lapangan kota, dia bertanya kepadanya, “Kamu dari mana dan kamu hendak ke mana?”
18 Orang Lewi itu menjawab, “Kami baru datang dari Betlehem di Yehuda dan sedang dalam perjalanan pulang ke rumah di pedalaman perbukitan Efraim. Saya berasal dari sana. Tiada sesiapa pun yang hendak memberi kami penginapan di kota ini.
19 Kami mempunyai cukup bekalan. Kami ada jerami dan makanan untuk keldai kami, dan juga roti serta wain untuk gundik dan hamba saya.”
20 Orang tua itu berkata, “Silalah datang ke rumah saya! Saya akan memenuhi segala keperluan saudara-saudara. Janganlah bermalam di lapangan kota.”
21 Kemudian dia membawa mereka ke rumahnya dan memberi keldai-keldai mereka makanan. Setelah tetamunya mencuci kaki, mereka makan dan minum.