6 Oleh itu orang Lewi itu duduk, lalu makan dan minum bersama-sama bapa perempuan itu. Kemudian bapa perempuan itu berkata, “Tinggallah semalam lagi dan bersenang-senanglah.”
7 Orang Lewi itu bangun hendak berangkat, tetapi bapa perempuan itu mendesak supaya dia tinggal. Oleh itu orang Lewi itu tinggal semalam lagi.
8 Pada hari kelima, orang Lewi itu bangun pagi-pagi lagi hendak berangkat. Tetapi bapa perempuan itu berkata, “Makanlah dahulu. Nantilah berangkat.” Oleh itu mereka berdua makan bersama-sama dan berlambat-lambat sampai matahari mulai terbenam.
9 Apabila orang Lewi itu, gundiknya, dan hambanya hendak berangkat, bapa perempuan itu berkata, “Lihatlah, hari sudah hampir malam. Lebih baik kamu bermalam di sini dan bersenang-senang. Esok kamu boleh bangun pagi-pagi dan berangkat pulang.”
10-11 Tetapi orang Lewi itu tidak mahu menginap lagi. Dia dan gundiknya berangkat, bersama-sama hambanya dan dua ekor keldainya yang berpelana. Ketika hari hampir malam, mereka sampai dekat Yebus (iaitu Yerusalem). Oleh itu hambanya berkata kepadanya, “Tuan, marilah kita berhenti dan menginap di kota orang Yebusi ini.”
12-13 Tetapi tuannya berkata, “Tidak! Kita tidak akan berhenti di kota orang bukan Israel. Kita akan meneruskan perjalanan sedikit lagi dan menginap di Gibea atau Rama.”
14 Oleh itu mereka melalui Yebus dan meneruskan perjalanan. Matahari telah terbenam ketika mereka tiba di Gibea, di wilayah suku Benyamin.