7 Selama Yosua hidup, umat Israel mengabdi kepada TUHAN. Setelah Yosua meninggal, umat Israel tetap mengabdi kepada TUHAN selama mereka dipimpin oleh para pemimpin Israel yang telah menyaksikan perbuatan besar TUHAN untuk umat Israel.
8 Yosua anak Nun, hamba TUHAN itu meninggal ketika berumur seratus sepuluh tahun.
9 Dia dikebumikan di tanah miliknya sendiri, di Timnat-Serah, di perbukitan Efraim, di sebelah utara Gunung Gaas.
10 Kemudian semua orang Israel daripada generasi itu meninggal. Generasi yang baru tidak mengenal TUHAN kerana mereka tidak mengalami apa yang telah dilakukan oleh TUHAN untuk Israel.
11-14 Kemudian umat Israel berdosa terhadap TUHAN. Mereka tidak lagi menyembah TUHAN, Allah nenek moyang mereka, iaitu Allah yang telah membawa mereka keluar dari Mesir. Mereka mula menyembah Baal dan Asytoret serta dewa-dewa yang disembah oleh bangsa-bangsa di sekitar mereka. Oleh itu TUHAN murka kepada mereka dan membiarkan perompak menyerang serta merompak mereka. Mereka tidak berdaya menghadapi musuh di sekitar mereka.
15 Tiap-tiap kali mereka pergi berperang, TUHAN menentang mereka, seperti yang sudah diperingatkan-Nya kepada mereka. Mereka mengalami kesusahan yang sangat besar.
16 Berulang kali TUHAN memberi bangsa Israel pemimpin untuk membebaskan mereka daripada gerombolan perompak.