Hakim-Hakim 20:27-28-34 BM

27-28 Pada masa itu Tabut Perjanjian Allah terletak di Betel, dan Pinehas anak Eleazar, cucu Harun bertugas sebagai imam. Kemudian umat Israel bertanya kepada TUHAN, “Haruskah kami berperang lagi dengan suku Benyamin, saudara kami itu? Atau haruskah kami menghentikan pertempuran ini?”TUHAN menjawab, “Berperanglah! Esok Aku akan memberi kamu kemenangan atas mereka.”

29 Setelah mendengar jawapan itu, umat Israel menempatkan askar-askar mereka di sekitar Gibea untuk menyerang hendap.

30 Pada hari yang ketiga mereka menyerang tentera Benyamin, sambil mengatur barisan menghadap Gibea seperti yang dilakukan pada hari-hari sebelumnya.

31 Orang Benyamin keluar untuk berperang dan mereka diumpan supaya menjauhi kota. Seperti yang sudah-sudah, mereka mula membunuh askar-askar Israel di kawasan terbuka di luar kota pada jalan yang menuju ke Betel dan Gibea. Mereka membunuh kira-kira tiga puluh orang Israel.

32 Oleh itu orang Benyamin berkata, “Kami telah mengalahkan umat Israel seperti yang sudah-sudah.”Padahal umat Israel sengaja mengundurkan diri untuk mengumpan askar-askar Benyamin ke jalan-jalan di luar kota.

33 Apabila tentera umat Israel telah undur dan berkumpul semula di Baal-Tamar, askar-askar mereka yang ditempatkan di sekitar Gibea itu tiba-tiba keluar dari tempat persembunyian di kawasan berbatu di sekeliling kota.

34 Mereka itu askar yang terpilih dari seluruh Israel; jumlahnya 10,000 orang. Kemudian terjadilah satu pertempuran yang sengit ketika 10,000 orang itu menyerang Gibea. Orang Benyamin sama sekali tidak menyangka bahawa mereka tidak lama lagi akan kalah.