19 Kemudian mereka teringat bahawa perayaan tahunan bagi TUHAN yang diadakan di Silo sudah hampir. (Silo terletak di sebelah utara Betel, di sebelah selatan Lebona dan di sebelah timur jalan di antara Betel dan Sikhem).
20 Kemudian para pemimpin itu berkata kepada orang Benyamin yang tinggal itu, “Bersembunyilah di ladang-ladang anggur di Silo
21 dan tunggulah di sana. Apabila anak-anak gadis Silo datang untuk menari pada perayaan itu, keluarlah dari ladang-ladang anggur itu, lalu masing-masing mengambil gadis-gadis itu secara paksa. Jadikanlah mereka isteri kamu dan bawalah mereka pulang ke wilayah Benyamin.
22 Jika bapa atau saudara lelaki mereka datang dan membantah, kamu boleh mengatakan, ‘Benarkanlah kami mengambil anak-anak gadis kamu itu untuk menjadi isteri kami, kerana kami tidak merampas mereka dalam peperangan. Lagi pula kamu tidak memberikan mereka kepada kami. Dengan itu kamu tidak bersalah, kerana kamu tidak melanggar sumpah.’ ”
23 Suku Benyamin pun berbuat demikian. Masing-masing memilih seorang isteri antara gadis-gadis yang menari di Silo, lalu membawa mereka pulang. Selepas itu mereka balik ke wilayah masing-masing dan membina semula kota-kota mereka serta tinggal di sana.
24 Orang Israel yang lain pun pulang kepada suku serta keluarga masing-masing, dan ke tanah milik mereka.
25 Pada zaman itu umat Israel belum mempunyai raja. Tiap-tiap orang melakukan apa yang dianggapnya benar.