Hakim-Hakim 6:13-19 BM

13 Gideon berkata kepadanya, “Benarkanlah aku bertanya. Jika TUHAN sungguh menyertai kami, mengapakah segala perkara ini berlaku kepada kami? Di manakah segala perbuatan ajaib yang pernah dilakukan TUHAN dahulu, yang diceritakan oleh nenek moyang kami tentang TUHAN mengeluarkan mereka dari Mesir? Sekarang TUHAN telah meninggalkan kami dan menyerahkan kami ke tangan orang Midian.”

14 Kemudian TUHAN memberikan perintah ini kepada Gideon, “Dengan segenap tenagamu, pergilah bebaskan orang Israel daripada orang Midian. Akulah yang mengutus engkau.”

15 Gideon menjawab, “Tetapi Tuhan bagaimana mungkin aku menyelamatkan umat Israel? Puakku yang paling lemah di kalangan suku Manasye. Lagi pun, akulah yang paling tidak penting dalam keluargaku.”

16 TUHAN berfirman kepadanya, “Aku akan menolong engkau, kerana itu engkau pasti berjaya. Engkau akan mengalahkan orang Midian seolah-olah engkau berhadapan dengan satu orang sahaja.”

17 Gideon berkata, “Jika aku betul-betul diperkenan oleh Tuhan, berilah aku bukti bahawa TUHAN yang memberikan perintah itu kepada aku.

18 Tolong jangan pergi sebelum aku membawa persembahan untuk Tuhan.”Dia menjawab, “Aku akan menunggu sehingga engkau kembali.”

19 Oleh itu Gideon pulang ke rumah lalu memasak seekor kambing muda. Dia juga mengambil sepuluh kilogram tepung, kemudian membuat roti yang tidak beragi. Dia meletakkan daging itu di dalam bakul dan kuahnya di dalam belanga, lalu membawa semua itu dan menghidangnya kepada malaikat yang sedang menunggu di bawah pokok oak.