19 Oleh itu Gideon pulang ke rumah lalu memasak seekor kambing muda. Dia juga mengambil sepuluh kilogram tepung, kemudian membuat roti yang tidak beragi. Dia meletakkan daging itu di dalam bakul dan kuahnya di dalam belanga, lalu membawa semua itu dan menghidangnya kepada malaikat yang sedang menunggu di bawah pokok oak.
20 Malaikat TUHAN berkata kepadanya, “Letakkanlah daging dan roti itu di atas batu ini dan tuanglah kuah daging itu ke atas semuanya.” Gideon berbuat demikian.
21 Kemudian malaikat TUHAN menghulurkan kayu yang dipegangnya, dan menyentuh daging dan roti dengan hujung kayu itu. Batu itu menyala lalu menghanguskan daging dan roti itu. Kemudian malaikat itu hilang dari pandangan.
22 Gideon menyedari bahawa yang telah datang kepadanya itu malaikat TUHAN. Dengan takut Gideon berkata, “Ya TUHAN Raja, aku telah berhadapan muka dengan malaikat-Mu!”
23 Tetapi TUHAN berfirman kepadanya, “Janganlah takut. Bertenanglah. Engkau tidak akan mati.”
24 Gideon membina sebuah mazbah untuk TUHAN di sana dan menamakannya “TUHAN Sumber Kesejahteraan”. Sampai sekarang mazbah itu masih ada di Ofra, kota milik puak Abiezer.
25 Pada malam itu TUHAN berfirman kepada Gideon, “Ambillah seekor lembu jantan milik bapamu, iaitu lembu jantan yang terbaik yang berumur tujuh tahun. Bongkarlah mazbah yang dibina oleh bapamu untuk Baal, dan robohlah tiang lambang Dewi Asyera yang di sisi mazbah itu.