27 Kemudian Gideon memilih sepuluh orang hambanya, lalu pergi melakukan apa yang diperintahkan TUHAN. Oleh sebab dia takut terhadap keluarganya dan penduduk kota itu, dia tidak berani melakukannya pada siang hari. Dia melakukannya pada waktu malam.
28 Ketika penduduk kota itu bangun esok paginya, mereka mendapati bahawa mazbah Baal dan tiang lambang Dewi Asyera telah dirobohkan. Mereka nampak juga bahawa di tempat itu telah dibina sebuah mazbah, dan lembu jantan itu telah dibakar sebagai korban.
29 Mereka bertanya satu sama lain, “Perbuatan siapakah ini?” Mereka menyiasat lalu mengetahui bahawa Gideon anak Yoas telah melakukannya.
30 Kemudian mereka berkata kepada Yoas, “Bawalah anakmu ke mari supaya kami dapat membunuh dia! Dia telah membongkar mazbah Baal dan merobohkan tiang lambang Dewi Asyera yang di sisi mazbah itu.”
31 Tetapi Yoas berkata kepada semua orang yang mencabar dia, “Adakah kamu memihak Baal? Adakah kamu mahu membela dia? Sesiapa yang membela Baal akan dibunuh pada hari ini. Jika Baal itu memang tuhan, biarlah dia membela dirinya sendiri, kerana yang dibongkar itu mazbahnya.”
32 Sejak itu orang menamakan Gideon “Yerubaal”, kerana Yoas berkata, “Biarlah Baal membela dirinya sendiri kerana yang dibongkar itu mazbahnya.”
33 Kemudian semua orang Midian, orang Amalek, dan suku-suku lain di padang gurun berkumpul. Mereka menyeberang Sungai Yordan lalu berkhemah di Lembah Yizreel.