31 Tetapi Yoas berkata kepada semua orang yang mencabar dia, “Adakah kamu memihak Baal? Adakah kamu mahu membela dia? Sesiapa yang membela Baal akan dibunuh pada hari ini. Jika Baal itu memang tuhan, biarlah dia membela dirinya sendiri, kerana yang dibongkar itu mazbahnya.”
32 Sejak itu orang menamakan Gideon “Yerubaal”, kerana Yoas berkata, “Biarlah Baal membela dirinya sendiri kerana yang dibongkar itu mazbahnya.”
33 Kemudian semua orang Midian, orang Amalek, dan suku-suku lain di padang gurun berkumpul. Mereka menyeberang Sungai Yordan lalu berkhemah di Lembah Yizreel.
34 Roh TUHAN menguasai Gideon, dan Gideon meniup trompet untuk memanggil orang daripada puak Abiezer supaya mengikut dia.
35 Gideon juga mengirim utusan-utusan kepada kedua-dua wilayah suku Manasye untuk memanggil mereka mengikut dia. Gideon juga mengirim utusan kepada suku Asyer, Zebulon, dan Naftali. Kemudian mereka juga datang bergabung dengan Gideon.
36 Kemudian Gideon berkata kepada Allah, “Engkau telah berfirman bahawa Engkau akan menggunakan aku untuk membebaskan umat Israel.
37 Sekarang aku meletakkan guntingan bulu domba ini di atas tanah tempat kami mengirik gandum. Jika esok pagi embun hanya terdapat pada guntingan bulu domba ini dan tidak terdapat di atas tanah, maka itulah buktinya bahawa sesungguhnya Engkau mahu menggunakan aku untuk membebaskan umat Israel.”