33 Kemudian semua orang Midian, orang Amalek, dan suku-suku lain di padang gurun berkumpul. Mereka menyeberang Sungai Yordan lalu berkhemah di Lembah Yizreel.
34 Roh TUHAN menguasai Gideon, dan Gideon meniup trompet untuk memanggil orang daripada puak Abiezer supaya mengikut dia.
35 Gideon juga mengirim utusan-utusan kepada kedua-dua wilayah suku Manasye untuk memanggil mereka mengikut dia. Gideon juga mengirim utusan kepada suku Asyer, Zebulon, dan Naftali. Kemudian mereka juga datang bergabung dengan Gideon.
36 Kemudian Gideon berkata kepada Allah, “Engkau telah berfirman bahawa Engkau akan menggunakan aku untuk membebaskan umat Israel.
37 Sekarang aku meletakkan guntingan bulu domba ini di atas tanah tempat kami mengirik gandum. Jika esok pagi embun hanya terdapat pada guntingan bulu domba ini dan tidak terdapat di atas tanah, maka itulah buktinya bahawa sesungguhnya Engkau mahu menggunakan aku untuk membebaskan umat Israel.”
38 Esok paginya, perkara itu benar-benar terjadi. Apabila Gideon bangun pagi-pagi, dia memeras guntingan bulu domba itu dan mendapat air embun sebanyak satu cawan.
39 Kemudian Gideon berkata kepada Allah, “Janganlah murka kepadaku; benarkanlah aku berkata satu kali lagi. Benarkanlah aku membuat satu ujian lagi dengan guntingan bulu itu. Kali ini biarlah guntingan bulu domba itu kering, tetapi tanah basah.”