7 Kemudian umat Israel berseru meminta TUHAN menolong mereka melawan orang Midian.
8 Oleh itu TUHAN mengutus seorang nabi kepada mereka. Nabi itu berkata, “Beginilah firman TUHAN, Allah Israel, ‘Aku telah menyelamatkan kamu daripada perhambaan di Mesir.
9 Aku telah menyelamatkan kamu daripada orang Mesir dan penduduk negeri ini yang melawan kamu. Aku mengusir mereka ketika kamu menyerang mereka, lalu Aku memberi kamu negeri mereka.
10 Aku memberitahu kamu bahawa Akulah TUHAN, Allah kamu, dan bahawa kamu tidak boleh menyembah dewa-dewa orang Amori, yang negerinya kamu diami sekarang. Tetapi kamu tidak mentaati firman-Ku.’ ”
11 Kemudian pada suatu hari malaikat TUHAN datang ke pekan Ofra dan duduk di bawah pokok oak kepunyaan Yoas, seorang daripada puak Abiezer. Anak lelaki Yoas yang bernama Gideon sedang mengirik gandum di tempat memeras anggur. Dia melakukan kerja itu dengan sembunyi-sembunyi supaya orang Midian tidak nampak dia.
12 Malaikat TUHAN menampakkan diri kepada Gideon di situ dan berkata, “TUHAN menyertai engkau, hai pemuda yang gagah berani!”
13 Gideon berkata kepadanya, “Benarkanlah aku bertanya. Jika TUHAN sungguh menyertai kami, mengapakah segala perkara ini berlaku kepada kami? Di manakah segala perbuatan ajaib yang pernah dilakukan TUHAN dahulu, yang diceritakan oleh nenek moyang kami tentang TUHAN mengeluarkan mereka dari Mesir? Sekarang TUHAN telah meninggalkan kami dan menyerahkan kami ke tangan orang Midian.”