13 Apabila Gideon sampai di situ, dia mendengar seseorang sedang menceritakan mimpinya kepada seorang kawan. Orang itu berkata, “Aku bermimpi ada sebuku roti barli terguling-guling masuk ke dalam perkhemahan kita. Roti itu melanggar sebuah khemah, lalu khemah itu roboh sama sekali.”
14 Kawannya menjawab, “Itu pedang Gideon anak Yoas, orang Israel itu. Nyatalah bahawa Allah sudah memberi dia kemenangan atas orang Midian dan seluruh angkatan tentera kita!”
15 Apabila Gideon mendengar mimpi orang itu dan maknanya, dia bersujud menyembah Allah. Kemudian dia kembali ke perkhemahan Israel dan berkata, “Bersedialah! TUHAN memberi kamu kemenangan atas angkatan tentera Midian!”
16 Gideon membahagikan anak buahnya kepada tiga pasukan. Kemudian dia memberi tiap-tiap orang sebuah trompet dan sebuah buyung yang berisi obor.
17 Gideon berkata kepada mereka, “Apabila aku sampai di depan perkhemahan musuh, perhatikan aku baik-baik. Lakukan apa yang aku lakukan.
18 Apabila aku dan pasukanku meniup trompet, kamu juga harus meniup trompet kamu di sekeliling perkhemahan musuh serta berteriak, ‘Untuk TUHAN dan untuk Gideon!’ ”
19 Menjelang tengah malam, Gideon dan seratus orang anak buahnya sampai di pinggir perkhemahan musuh. Pada waktu itu orang yang mengawal perkhemahan itu baru sahaja berganti berkawal. Kemudian Gideon dan pasukannya meniup trompet dan memecahkan buyung mereka.