16 Gideon membahagikan anak buahnya kepada tiga pasukan. Kemudian dia memberi tiap-tiap orang sebuah trompet dan sebuah buyung yang berisi obor.
17 Gideon berkata kepada mereka, “Apabila aku sampai di depan perkhemahan musuh, perhatikan aku baik-baik. Lakukan apa yang aku lakukan.
18 Apabila aku dan pasukanku meniup trompet, kamu juga harus meniup trompet kamu di sekeliling perkhemahan musuh serta berteriak, ‘Untuk TUHAN dan untuk Gideon!’ ”
19 Menjelang tengah malam, Gideon dan seratus orang anak buahnya sampai di pinggir perkhemahan musuh. Pada waktu itu orang yang mengawal perkhemahan itu baru sahaja berganti berkawal. Kemudian Gideon dan pasukannya meniup trompet dan memecahkan buyung mereka.
20 Kedua-dua pasukan yang lain itu pun berbuat demikian. Mereka semua mengangkat obor dengan tangan kiri, dan trompet dengan tangan kanan, lalu berteriak, “Pedang untuk TUHAN dan untuk Gideon!”
21 Mereka semuanya tetap berdiri di tempat masing-masing di sekeliling perkhemahan itu. Kemudian seluruh angkatan tentera musuh lari sambil menjerit-jerit.
22 Sementara anak buah Gideon meniup trompet mereka, TUHAN menyebabkan pasukan musuh menyerang sesama sendiri dengan pedang. Mereka lari ke arah Zerera sampai ke Bet-Sita dan kota Abel-Mehola, dekat Tabat.