2 TUHAN berfirman kepada Gideon, “Anak buahmu terlalu banyak. Aku tidak mahu memberi mereka kemenangan atas orang Midian. Nanti mereka akan berfikir bahawa mereka menang kerana kekuatan mereka sendiri, sehingga tidak memuliakan Aku.
3 Oleh itu umumkanlah kepada anak buahmu, ‘Sesiapa yang berasa takut, harus segera meninggalkan Gunung Gilead dan pulang ke rumahnya!’ ” Oleh itu dua puluh dua ribu orang pulang; hanya sepuluh ribu orang yang tinggal.
4 Kemudian TUHAN berfirman kepada Gideon, “Masih terlalu banyak anak buahmu. Bawalah mereka ke sungai. Di situ Aku akan memilih mereka bagimu. Jika Aku berfirman kepadamu, ‘Orang ini harus pergi dengan engkau,’ dia harus pergi. Tetapi jika Aku berfirman, ‘Orang ini tidak boleh pergi dengan engkau,’ dia tidak boleh pergi.”
5 Gideon membawa semua anak buahnya ke sungai, lalu TUHAN berfirman kepada Gideon, “Orang yang menjilat air seperti anjing harus engkau pisahkan daripada orang yang berlutut untuk minum.”
6 Sebanyak tiga ratus orang menjilat air dari tangan, sedangkan yang lain berlutut untuk minum.
7 Kemudian TUHAN berfirman kepada Gideon, “Aku akan menyelamatkan engkau dan memberi engkau kemenangan atas orang Midian dengan tiga ratus orang yang menjilat air. Suruhlah semua orang yang lain itu pulang.”
8 Oleh itu Gideon menyuruh semua orang Israel yang lain pulang, kecuali tiga ratus orang itu. Semua bekal dan trompet diambil daripada mereka yang pulang. Ketika itu orang Midian berkhemah di lembah, di bawah tempat orang Israel berkhemah.