15 Selepas itu Gideon pergi kepada para pemimpin itu dan berkata, “Ingatkah kamu bahawa kamu tidak mahu menolong aku dahulu? Kamu tidak mahu memberikan makanan kepada askar-askarku yang letih, kerana kamu berkata aku belum menangkap Zebah dan Salmuna. Nah, inilah mereka!”
16 Kemudian Gideon mengambil duri dan onak dari padang gurun, lalu menggunakannya untuk menghukum para pemimpin Sukot.
17 Gideon juga merobohkan menara kota Penuel dan membunuh semua orang lelaki di kota itu.
18 Selepas itu Gideon bertanya kepada Zebah dan Salmuna, “Bagaimanakah rupa orang yang kamu bunuh di Tabor itu?”Mereka menjawab, “Rupa mereka mirip kamu, seperti keturunan bangsawan.”
19 Gideon berkata, “Mereka saudaraku, anak-anak ibuku. Aku bersumpah bahawa jika kamu tidak membunuh mereka, aku pun tidak akan membunuh kamu.”
20 Kemudian Gideon berkata kepada Yeter, anak sulungnya yang lelaki, “Bunuhlah mereka!” Tetapi Yeter tidak menghunus pedangnya. Dia takut kerana dia masih muda.
21 Zebah dan Salmuna berkata kepada Gideon, “Ayuh, kalau engkau lelaki, bunuhlah kami dengan tanganmu sendiri!” Oleh itu Gideon membunuh mereka, lalu mengambil semua perhiasan yang ada pada leher unta mereka.